twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

HUKUM HUDUD DALAM PERUNDANGAN ISLAM

Salah satu dari aspek perundangan Islam yang sekarang ini banyak dibicarakan ialah pelaksanaan hudud. Hukum hudud adalah salah satu cabang undang-undang Jenayah Islam. Dalam konteks undang-undang Jenayah Islam, hudud bermaksud segala kesalahan bukan ke atas diri manusia yang telah ditetapkan hukumannya oleh Allah taala secara khusus. Kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan hukumannya secara khusus oleh Allah taala dinamakan ta`zir seperti merosakkan harta benda awam. Manakala kesalahan yang telah ditetapkan hukumannya seperti membunuh dan mencederakan tubuh dinamakan qisas. Kesalahan-kesalahan yang digolongkan dalam kesalahan hudud ialah:-

Pertama melakukan zina yang dihukum dengan sebat 100 kali bagi pesalah lelaki dan perempuan yang belum berkahwin sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah: “Dan rejam sehingga mati jika ia dilakukan oleh pesalah yang telah berkahwin”.

Kedua adalah menuduh orang lain berzina tanpa bukti yang dihukum dengan 80 kali sebat yang dinyatakan dalam firman Allah surah An-Nur: 4. “Dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik”

Ketiga minum arak yang dihukum dengan 40 kali sebat. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang minum arak, maka sebatlah dia.” (Riwayat At-Tirmuzi).

Keempat mencuri yang dihukum dengan memotong tangan. Firman Allah: “Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Untuk memahami Jenayah hudud secara komprehensif adalah memahami dengan cara pembuktian, pelaksanaan, falsafah serta hikmahnya agar tidak timbul salah faham terhadap hukum Allah s.w.t. Namun pelaksanaan hudud haruslah dilakukan setelah segala infrastruktur dipersiapkan seperti tenaga-tenaga yang terlatih dan sistem kehakiman yang berkesan. Selain itu, masyarakat umumnya juga haruslah bersedia untuk menerimanya kerana cara hidup Islam bukan dibina atas kekuasaan undang-undang tetapi atas aqidah dan iman dalam diri manusia.

Hukuman hudud hanya boleh dilaksanakan oleh Ulil Amri (kuasa politik Islam). Hudud tidak boleh dilaksanakan oleh individu atau organisasi Islam. Seorang ayah tidak boleh melaksanakan hudud ke atas anaknya yang minum arak dan organisasi Islam tidak boleh menyerang pelaku kesalahan hudud atau kelab-kelab malam di jalan-jalan. Walau bagaimanana pun, perlulah difahami bahawa hukum hudud adalah hanya sebahagian dari kewajiban agama yang perlu ditunaikan oleh umat Islam. Oleh itu, perlulah diperhatikan turutan keutamaan-keutamaan kewajiban yang perlu dipenuhi mengikut keadaan sesuatu tempat dan masa.

No comments:

Post a Comment