twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

IPTA PUPUS PELAJAR LELAKI?


Ke mana perginya pelajar lelaki? Umumnya, daripada sejumlah 30 pelajar di dalam sesebuah kelas misalnya, yang pasti 70 peratus pelajar perempuan dan selebihnya lelaki, malah ada ketikanya tiada pelajar lelaki langsung? Dengan nada sinis dan nakal segelintir pelajar perempuan yang mendominasi bilangan pelajar dalam kelas pantas menjawab bahawa lelaki lebih bertumpu di pusat serenti. Namun, adakah itu jawapan sebenarnya. Mungkin ada sedikit kebenarannya justeru lelaki memang majoriti di sana.

Justeru itu, kebanyakan penuntut lelaki mencari jalan keluar dengan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajian di institusi lain seperti Institut Kemahiran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), politeknik dan sebagainya. Ini disokong oleh fakta bahawa bilangan pelajar lelaki yang mengikuti pengajian vokasional atau teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili 60 peratus. Menyedari keadaan ini, Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya membina lebih banyak institusi serupa ini agar dapat memenuhi keperluan pelajar lelaki. Kaedah pembelajaran lelaki sebenarnya lebih menjurus kepada hands on dan tidak setakat membaca dan menghafal yang seterusnya dimuntahkan dalam kertas jawapan peperiksaan. Selepas itu, dalam banyak keadaan apa yang dipelajari selama empat tahun di universiti sebenarnya tidak membantu langsung dalam pemilihan dan perkembangan kerjaya mereka. Selain itu, Masalah keluarga yang kurang berkemampuan untuk membiayai pengajian universiti selain daripada tekad pelajar lelaki yang lebih cenderung untuk mencari pekerjaan bagi menanggung adik beradik yang lain juga turut menyumbang kepada keadaan ini.

Bagaimanapun, ini tentunya berbeza dengan pelajar perempuan yang kelihatannya lebih berminat serta tekun untuk membaca dan menghafal segala fakta dan teori yang terkandung dalam buku teks. Walaupun dianggap kes terpencil, namun pelajar yang hebat dalam akademik tidak dinafikan banyak yang gagal dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembelajaran “kakaktua” ini bukanlah sesuai lagi dalam keadaan sekarang. Pandangan sebahagian besar ibu bapa bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukkan lebih masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Justeru itu anak-anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akademik dan tidak menghairankan jumlah mereka terus meningkat di universiti.

Namun begitu apa yang digusarkan ialah masalah ini jika dibiarkan berlarutan bakal melahirkan masalah ketidakseimbangan dari segi pekerjaan pula. Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku. Suka tidak suka, mahu tidak mahu satu hari nanti wanita yang berkerjaya tinggi akan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang lebih rendah taraf kerjayanya hatta termasuk mereka yang tidak bekerja. Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah menjaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja. Fenomena ini telah pun berlaku sekarang walaupun kelihatannya tidak manis dan menyalahi adat.

No comments:

Post a Comment