twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

POLIGAMI DALAM INSTITUSI KEKELUARGAAN

Perdebatan mengenai poligami tidak pernah selesai diperbincangkan dari dahulu hinggalah ke hari ini. Namun, masyarakat perlu melihat perdebatan ini dari sudut positif. Islam mengharuskan seorang lelaki berkahwin lebih daripada seorang untuk menambahkan zuriat dan mengelakkan daripadanya berlaku perbuatan maksiat Had untuk seorang suami menambahkan bilangan isteri hanya empat orang saja. Kebenaran berpoligami bukanlah satu peluang yang baik kepada kaum lelaki tetapi merupakan satu tanggungjawab yang besar sekiranya diamalkan. Seseorang yang hendak berpoligami hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak berlaku. Poligami yang diamalkan dengan baik dan mengikut syariat Allah akan mendapat berkat dan bahagia di dunia dan di akhirat.

Tidak semua orang lelaki yang telah berkahwin boleh berpoligami dan mengambil jalan mudah untuk berpoligami. Menurut pendapat para ulama Islam, keharusan berpoligami untuk lelaki boleh dilaksanakan apabila keadaan-keadaan berikut dimiliki atau dapat dipenuhi oleh lelaki berkenaan antaranya:

1. Beliau adalah seorang yang sihat jasmani dan rohaninya serta mempunyai sifat bertanggungjawab

2. Beliau mempunyai kemampuan material yang mencukupi untuk menanggung isteri-isteri, anak-anak dan orang yang diletakkan di bawah tanggungannya

3. Beliau bersedia dan boleh untuk memberi dan menunjukkan sifat kasih sayang terhadap isteri-isteri, anak-anak dan orang yang di bawah tanggungannya dengan cara saksama dan adil


Jadi, bagi suami yang ingin berpoligami jangan mudah mengaku dapat berlaku adil. Allah mengingatkan betapa sukarnya berlaku adil. Sebenarnya keadilan yang dimaksudkan ialah keadilan hakiki atau tidak berat sebelah. Dalam keadaan apa sekalipun, manusia tidak dapat berlaku adil sepenuhnya. Hanya Allah yang Maha Adil. Firman Allah dalam Surah an-Nisa: 129 yang bermaksud:

"Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isterimu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian".

Justeru, bagi suami berpoligami memadai adil dengan cara berusaha untuk berlaku adil. Keadilan berpoligami bermakna suami melihat isteri dalam satu dimensi yang sama. Suami berpoligami tidak membezakan kecantikan, umur dan perkara lain yang berkaitan kelebihan dan kekurangan seseorang isteri. Mereka perlu jujur menunaikan hak setiap isteri mengikut kemampuan. Penentuan sama ada mampu berlaku adil terletak pada diri suami sendiri. Suami bertanggungjawab di hadapan Allah di atas sifat amanah dan tanggungjawabnya.

No comments:

Post a Comment