twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

KEKACAUAN DI ANTARA AMERIKA DAN IRAN

Jika kita meninjau akhbar-akhbar mengenai isu Timur Tengah, mahupun di peringkat global. Kita akan dapati terlalu banyak keadaan dibesar-besarkan oleh media tentang isu 2 buah negara gergasi, Amerika dan Iran. Amerika ingin menyerang Iran disebabkan projek nuklear yang cuba dibangunkan oleh negara pimpinan Presiden popular Iran, Mahmud Ahmadi Nejd. Kerana khabar angin mengenai projek nuklear Iran begitu meluas, maka Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) kerap didesak oleh Amerika untuk mengheret Iran ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Amerika berkali-kali menyifatkan pembangunan nuklear oleh negara Iran itu sebagai haram, ironisnya Israel yang juga memiliki sistem pengkayaan nuklear tidak pula dicop haram oleh Amerika.

Kemungkinan-kemungkinan ini memaksa segala persoalan di kepala, untuk kita terus sangsi tentang kesungguhan Amerika ke atas Iran yang tentunya merugikan banyak aspek. Kita perhatikan analisis-analisis ini, agar kita mampu berfikir bahawa Amerika sama sekali tidak akan menyerang negara Ahmadi Nejd

1) Amerika bukanlah terlalu jahil untuk membuka ruang konfrontasi dengan jarak yang terlalu lebar dengan Iran. Amerika tentu akan membersihkan Iraq dari tentera-tenteranya sehingga masalah yang timbul di sana, seolah-olah telah selesai pada anggapan orang ramai dan pemerhati-pemerhati politik dunia. Kerana itu akhbar baru-baru ini melaporkan Amerika melarang Israel untuk menyerang Iran, selagi mana tentera Amerika masih berada di Iraq. Amerika dilihat tidak berkeinginan untuk menyerang Iran disebabkan faktor-faktor kebuntuan ekonomi dan ketidakseimbangan politiknya, sekalipun kem tenteranya di Iraq berupaya menggusarkan Tehran.

2) Jika Amerika menyerang Iran, ia akan merapatkan lagi jurang yang berlaku antara Sunnah dan Syiah. Negara-negara Sunnah tentunya akan menyokong negara Syiah itu, jika mereka diserang Amerika. Kerana dalam peperangan ini Bush akan mewakili Barat, dan secara tidak langsung Ahmadi Nejd mewakili Islam. Perpecahan dua aliran antara Sunni dan Syiah tentunya menguntungkan Israel dan Amerika, sementara perpaduan kedua-dua aliran mazhab Islam ini menjadi impak yang sangat negatif kepada kelangsungan imperialisme Barat di negara-negara Islam. Siri-siri perpecahan ini dibayangi tragedi di Iraq sebagai satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Amerika hanya goyang kaki manakala Sunnah dan Syiah terus bertengkar denga genjatan senjata sesama mereka. Setelah isu pergolakan yang berlaku di Iraq semakin jelas kerana terdapat pengkhianatan ‘orang ketiga’ dan masing-masing tahu kesan buruk yang berlaku terhadap umat Islam (apabila Sunnah dan Syiah di Iraq berkelahi). Ulama-ulama mereka sama ada dari aliran Sunni ataupun Syi’ie mula menegaskan perkara untuk bersatu.

Jika serangan dilakukan tentunya ia bukanlah masa terbaik malah memberikan kesan negatif kepada Amerika. Hal ini bertepatan dengan saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) pada 11 Oktober 2003; “Ubat untuk negara Islam menghadapi tekanan dan kecaman dari Barat adalah penyatuan dalam kalangan umat Islam. Jika kebanyakan umat Islam yang sering bercakaran berjaya disatukan, tentu sekali kuasa Barat tidak mampu berbuat apa-apa”.

3) Hubungan diplomatik yang mantap. Iran tidaklah seperti Korea Utara atau Iraq yang mempunyai masalah dalam hubungan diplomatik. Iran sebenarnya memiliki kedudukan kukuh dari segi diplomatik khususnya dari Pertubuhan Negara Rantau Teluk (GCC) serta dari Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Semasa tuduhan Amerika mengenai persenjataan nuklear yang berpangkalan di Iran, Iran bersifat terbuka memberikan kerjasama dengan IAEA, Britain, Perancis dan Jerman untuk membuat pemeriksaan di semua loji nuklear milik Tehran. Kerana itu, Iran berani mencabar Amerika bukan dari segi retorik sahaja tetapi secara eksekutif.

Jika Amerika berjaya mengheret Iran ke Majlis Keselamatan PBB sekalipun, Amerika sekali lagi terpaksa berhadapan dengan 2 buah kuasa veto lain seperti China dan Russia yang mempunyai hubungan baik dengan Iran sekarang ini. Ketika Amerika di bawah pentadbiran Clinton, Amerika pernah meletakkan peraturan sekatan bagi syarikat asing yang melabur di dalam sektor minyak dan gas Iran. Walau bagaimanapun, peraturan tersebut tidak berjaya apabila Britain sendiri membantah cadangan Amerika itu. Ini kerana, terdapat syarikat Britain iaitu Royal Dutch Shell yang terlibat secara besar-besaran dalam pembangunan lembangan minyak dan gas Iran.


No comments:

Post a Comment