twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)
Showing posts with label Isu ilmu-ilmu Islam. Show all posts
Showing posts with label Isu ilmu-ilmu Islam. Show all posts

Tuesday, October 6, 2009

HIJAB WANITA ISLAM


Hijab bererti tabir, tirai atau dinding dan digunakan sebagai perselindungan wanita di dalam Islam daripada pandangan lelaki ajnabi. Termasuk dalam erti hijab bagi wanita ialah menjaga gaya tutur kata dan pertuturannya. Ia hendaklah tidak dalam gaya atau mempunyai unsur yang boleh menarik perhatian lelaki secara sengaja atau tidak sengaja, seperti gaya pertuturan yang dimanja-manja atau penggunaan perkataan yang memberahikan. Firman Allah taala yang bermaksud:

"Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk terhadap kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."(Surah Al-Ahzab: 32)

Selain itu, Hijab juga meliputi aspek bersolek dan menghias diri. Bersolek ini meliputi solekan pada pakaian dan tubuh. Islam membenarkan solekan dan hiasan bagi wanita di hadapan mahram atau untuk melayan suami. Di sini juga kita dapati sesetengah wanita yang berhijab pakaian tetapi tubuhnya, terutama wajah, dihiasi dengan pelbagai solekan yang menarik perhatian lelaki. Demikianlah luasnya tuntutan hijab ke atas wanita yang melampaui aspek pakaian dan tudung semata-mata. Seharusnyalah wanita-wanita Islam memahaminya dan berusaha untuk melaksanakannya. Batas-batas ini bukanlah satu kongkongan tetapi ia mengandungi hikmah dan kebaikan yang ditetapkan oleh Allah taala Yang Maha Bijaksana.

"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah"

AL-QURAN PENERANG JIWA


Sepertimana yang kita, bahawa Al-Quran membawa kepada dua fungsi yang penting kepada manusia yang beriman iaitu Al-Quran sebagai pembimbing manusia menuju jalan yang benar dan lurus. Fungsi bimbingan adalah mengantarkan kita dari pemahaman menuju tanggungjawab. Dengan mempelajari Al-Quran kita akan mendapat ilmu, dengan ilmu muncul pemahaman, dari pemahaman lahir kesedaran, dari kesedaran hadirlah tanggungjawab. Inilah yang dimaksudkan Al-Quran sebagai pembimbing hidup. Maka Al-Quran telah banyak menjelaskan bahawa pada akhirnya semua proses yang kita jalani dalam kehidupan kita hujungnya adalah tanggungjawab itu.

“Maka berlumba-lumbalah kalian dalam kebaikan, sesungguhnya kepada Allah kalian akan dikembalikan, kemudian akan dikhabarkan bagaimana balasan atas apa-apa yang kalian kerjakan.”

Fungsi yang kedua, Al-Quran sebagai ubat iaitu ubat zahir dan batin. Ianya telah dijelaskan secara langsung oleh Allah di dalam al-Quran. “Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Isra’:82). Namum ayat ini menjelaskan bahawa, Al-Quran ini sebagai penawar hati dan ubat fizikal. Kita harus menyakini akan kebenaran Al-Quran kerana bagi orang-orang yang zalim Al-Quran tidak mendatangkan manfaat walaupun sedikitpun.


KELEBIHAN BERZIKIR




Zikrullah adalah antara amalan yang dapat menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kepentingan zikrullah dan kesannya kepada ketenteraman jiwa. Zikrullah adalah mengingati Allah melalui hati, lidah dan seluruh anggota badan. Jelasnya, zikrullah atau mengingati Allah ini adalah makna umum dan tidak tertumpu hanya kepada zikir lidah sahaja sebagaimana yang difahami oleh ramai orang. Segala perbuatan atau gerak laku yang membolehkan kita mengingatiNya serta mendapat keredhaanNya, maka ianya termasuk dalam erti kata zikrullah dalam pengertian yang sebenar-benarnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu hati akan tenang tenteram”. (Ar-Rad: 28).

Allah s.w.t. memerintahkan orang Islam agar mengingati-Nya dalam semua keadaan serta jangan menyibukkan hati mereka dengan mengalihkannya kepada yang lain selain Allah supaya tidak terputus hubungan mereka dengan Maha Pencipta. Allah menegaskan di dalam al-Quran agar kita menjadi orang yang sentiasa berzikir sambil berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:

“Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. (Ali Imran: 191)”.

Sesungguhnya para penzikir akan mudah terdorong melakukan kebajikan dan tercegah daripada melakukan kemungkaran. Malah mereka juga akan dapat merasai bahawa Allah seolah-olah sentiasa bersama mereka dalam setiap amalan yang dikerjakan. Ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w. adalah penzikir yang paling layak dan utama untuk kita contohi dan ikuti.