twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

QAZF DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM

Qazf dari segi bahasa bererti melontar sesuatu sama ada dengan batu atau seumpamanya. Manakala dari segi istilah syarak ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya. Adapun melemparkan tuduhan-tuduhan yang lain daripada zina dan menafikan keturunan seperti melemparkan tuduhan kufur, mencuri, minum arak dan sebagainya, termasuk mencerca, memaki hanum yang bertujuan untuk menghina maka pesalah-pesalah yang tersebut tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir. Dengan demikian boleh dikatakan bahawa dalam syaraiat Islam ada dua jenis qazf: Qazf yang pesalahnya dikenakan hukuman had dan qazf yang pesalahnya hanya dikenakan hukuman takzir.

Punca utama bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan menerusi lidah seperti membuat tuduhan palsu, mencerca, memaki dan sebagainya, kerana Islam melarang berbuat bohong dan putar belit dan sebaliknya menggalakkan bercakap benar dalam apa jua keadaan. Sebab itulah bagi orang yang bercakap benar tidak boleh dikenakan hukuman dan tidak boleh dikenakan hukuman ke atas orang yang memanggil “Hai pezina” kalau orang itu memang benar-benar berzina atau menggelarkan seorang itu pencuri kalau memang sabit dia itu pencuri atau mengatakan seorang itu kafir jika memang sabit dia itu kafir.

Bukti-Bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Qazf

Kesalahan qazf dapat disabitkan sama ada dengan kesaksian pengakuan dan sumpah.

1. Kesaksian (Syahadah)

Untuk membuktikan kesalahan qazf kepada qazif (orang yang membuat tuduhan palsu zina) ialah dengan disaksikan oleh saksi yang mempunyai syarat seperti dalam saksi-saksi zina iaitu saksi mestilah seorang Islam, baligh, berakal, adil, dapat bertutur, dapat mengingatkan dan tidak ada hubungan keluarga. Begitulah juga saksi-saksi mesti terdiri orang lelaki walaupun setengah ulamak mengatakan saksi itu terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan adalah memadai. Bilangan saksi itu seramai dua orang lelaki adalah mencukupi untuk mensabitkan kesalahan qazf kepada qazif. Akan tetapi untuk menafikan tuduhan qazf maka orang yang didakwa membuat tuduhan palsu zina itu hendaklah mematuhi salah satu daripada berikut:

i. Menafikan dakwaan kesalahan qazf dengan membawa saksi-saksi seberapa banyak dengan tidak dihad kepada bilangan tertentu.

ii. Menegaskan bahawa orang yang dilemparkan tuduhan yang tidak berasas itu mengakui kebenaran tuduhannya, untuk membela dirinya ini memadai dengan membawa dua saksi lelaki atau seorang lelaki dan seorang peremuan.

iii. Mengaku membuat kesalahan qazf dan dalam keadaan ini dia mesti membuktikan kebenaran tuduhan zina yang dilemparkan kepada seorang iaitu dengan membawa saksi seramai empat orang yang benar-benar menyaksikan orang yang dilemparkan tuduhan zina itu memang melakukan zina.

2. Pengakuan atau ikrar

Sabit kesalahan qazf dengan adanya pengakuan sendiri daripada orang yang membuat tuduhan tak berasas kepada seorang berbuat zina, dengan sekali pengakuan dalam majlis kehakiman sudah memadai. Jika pengakuan membuat tuduhan itu tidak di majlis qada’ maka menurut Abu Hanifah harus disaksikan pengakuan itu.

3. Dengan sumpah

Mengikut Imam Syafie kesalahan qazf boleh disabitkan melalui sumpah, jika pihak yang dilemparkan tuduhan itu tidak mempunyai bukti lain maka dia meminta tolong orang yang melemparkan tuduhan itu bersumpah bahawa dia tidak membuat tuduhan kalau dia tidak mahu bersumpah begitu maka sabitlah kesalahan qazf kepadanya. Begitu juga Imam Syafie berpendapat bahawa adainya orang yang melemparkan tuduhan itu tidak mempunyai keterangan yang mengesahkan tuduhannya maka dia boleh meminta kepada yang dilemparkan tuduhan bersumpah bahawa dia bersih daripada zina. Jika dia tidak mahu bersumpah maka tuduhan zina yang dibuatnya dianggap betul jadi yang membuat tuduhan itu terlepas daripada hukuman had. Manakala Imam Malik dan Ahmad berpendapat kesalahan qazf tidak boleh disabitkan dengan bersumpah sama ada daripada orang yang membuat tuduhan atau orang yang dilemparkan tuduhan.


No comments:

Post a Comment