twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

KELEBIHAN BERZIKIR




Zikrullah adalah antara amalan yang dapat menghidupkan hati, memberikan ketenangan rohani dan mengundang rahmat Allah. Banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang menceritakan kepentingan zikrullah dan kesannya kepada ketenteraman jiwa. Zikrullah adalah mengingati Allah melalui hati, lidah dan seluruh anggota badan. Jelasnya, zikrullah atau mengingati Allah ini adalah makna umum dan tidak tertumpu hanya kepada zikir lidah sahaja sebagaimana yang difahami oleh ramai orang. Segala perbuatan atau gerak laku yang membolehkan kita mengingatiNya serta mendapat keredhaanNya, maka ianya termasuk dalam erti kata zikrullah dalam pengertian yang sebenar-benarnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu hati akan tenang tenteram”. (Ar-Rad: 28).

Allah s.w.t. memerintahkan orang Islam agar mengingati-Nya dalam semua keadaan serta jangan menyibukkan hati mereka dengan mengalihkannya kepada yang lain selain Allah supaya tidak terputus hubungan mereka dengan Maha Pencipta. Allah menegaskan di dalam al-Quran agar kita menjadi orang yang sentiasa berzikir sambil berfikir tentang tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:

Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. (Ali Imran: 191)”.

Sesungguhnya para penzikir akan mudah terdorong melakukan kebajikan dan tercegah daripada melakukan kemungkaran. Malah mereka juga akan dapat merasai bahawa Allah seolah-olah sentiasa bersama mereka dalam setiap amalan yang dikerjakan. Ketahuilah bahawa Rasulullah s.a.w. adalah penzikir yang paling layak dan utama untuk kita contohi dan ikuti.



1 comment:

  1. zikir adalah pujian-pujian yang kita berikan kepada Allah..amat besarlah pahala org yang sentiasa berzikir

    ReplyDelete