twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Tuesday, October 6, 2009

KESALAHFAHAMAN TENTANG POLITIK

Sejak kemunduran yang melanda umat Islam dan setelah jatuhnya Daulah Islam pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), keseluruhan negeri umat Islam telah diperintah dengan sistem sekular yang berasal dari Barat di mana asas/tunjang pemerintahannya adalah memisahkan agama dari kehidupan. Bermula dari sini, kafir Barat telah berjaya menguasai dan mengawal pemikiran umat Islam bahawa agama dan politik mesti dipisahkan. Mereka seterusnya mengangkat pemimpin-pemimpin dari kalangan umat Islam yang sepemikiran dengan mereka dan melalui pemimpin-pemimpin inilah, sistem sekular telah diterap dan dipertahankan. Setiap detik dan ketika, rakyat dihidangkan dan dijamu dengan pemikiran-pemikiran kufur ini, sudahnya pemikiran ini berjaya meracuni mereka. Apatah lagi, dengan adanya ‘ulama’ yang digaji oleh pemerintah untuk ‘membenarkan’ segala tindakan mereka, maka keyakinan rakyat akan politik dan agama adalah suatu yang terpisah. Ulama yang diberi gaji ini akhirnya digunakan habis-habisan oleh pemerintah sekular yang ada untuk menyokong pemerintahan dan undang-undang kufur yang diterapkan. Tugas ulama hanya dipersempit untuk mengeluarkan fatwa terhadap perkara-perkara furu’ (ranting), manakala dalam bab pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, jihad, dasar luar dan dalam negeri, ‘tugas’ ulama ini hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah. Akhirnya, ulama yang sepatutnya bertugas membetul dan menasihatkan pemerintah dengan Islam, telah berjaya ‘di sekularkan’ oleh pemerintah.

Racun sekular yang telah menular hingga ke urat saraf umat ini menyebabkan wujudnya umat Islam dan jemaah Islam yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana beranggapan bahawa agama dan politik adalah dua perkara yang berlainan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada orang bergelar ulama yang bukan sahaja tidak mahu terlibat dengan politik, malah menyalahkan individu Muslim mahupun gerakan-gerakan Islam yang terlibat dengan politik. Kecelaruan ini timbul disebabkan oleh satu perkara asas, iaitu kerana mereka tidak memahami apakah maksud politik (siyasah) menurut Islam. Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan politik yang diamalkan oleh ahli-ahli politik yang ada. Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci. Justeru, bagi mereka Islam tidak sama dengan politik atau perlu dipisahkan dari politik. Memang benar, kita bersetuju jika dikatakan politik (sekarang) adalah kotor dan keji. Kenapa? Kerana politik yang ada sekarang adalah politik yang datangnya dari kafir Barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan Barat, politik yang membelakangkan al-Quran dan Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik di mana seseorang cuba menjatuh dan mengaibkan satu sama lain, politik di mana seseorang suka memfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas merajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi yang ada. Dengan kata lain, politik yang ada sekarang sememangnya kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.

Dengan segala kemaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam yang menolak politik. Memang benar, kita mesti menolak politik kotor ini, kerana ia adalah politik sekular. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya dengan politik Islam (siyasah syar’iyyah) yang bersih dan benar. Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim. Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya, tetapi ada di antara mereka yang tetap ‘rela dan redha’ dilantik oleh ahli politik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini. Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah ‘membersihkan’ segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (siyasah syar’iyyah), bukannya hanya duduk sepejabat atau semeja (dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.

No comments:

Post a Comment